Sunday, August 2, 2009

C.I.N.T.A

Usah gopoh ucap cinta

April 16, 2009 by admin
Fail di bawah Perhubungan & Cinta

Tawarkan cinta apabila anda telah benar-benar pasti.

Tawarkan cinta apabila anda telah benar-benar pasti.

Jatuh cinta sudah tentulah amat indah dan mengasyikkan terutama apabila si pujaan hati turut memiliki perasaan dan keinginan sama.

Tetapi, bagaimana pula apabila si dia tidak memiliki perasaan yang sama, bahkan hanya menganggap jalinan hubungan yang terbina itu atas nama persahabatan saja?

Ketika itu barangkali ada rasa malu bermukim di hati namun, anda harus meneruskan juga kelangsungan sebuah perhubungan tanpa perasaan.

Saat cinta bertepuk sebelah tangan, tentu terasa pahitnya Tuhan saja yang tahu. Sedih, kecewa, malu dan pelbagai perasaan merona di jiwa sehingga anda berasakan tidak sanggup lagi berdepan dengannya.

Bagaimana agaknya hendak melunakkan diri sendiri untuk menerima hakikat bahawa semua itu hanyalah permainan perasaan? Bahkan banyak perkara boleh dilakukan demi mencari formula supaya mampu melenyapkan rasa itu.

Pada masa sama anda sendiri perlu bermuhasabah diri kerana mungkin ada sesuatu perkara yang harus dipelajari.

Mungkin bersikap terlalu terburu-buru dan tidak rasional membuatkan anda tersilap langkah.

Anda seharusnya mengkaji diri mungkin si dia juga agak ‘terkejut’ dengan cara anda meluahkan bibit perasaan dan mungkin si dia juga memiliki perasaan yang sama, tetapi menyimpan saja. Atau mungkin dia juga ada ‘getar’ yang sama, tetapi tidak kuat untuk meluahkannya.

Dalam membina sebuah perhubungan yang intim, mungkin cara anda meluahkan itu tidak kena masa dan tempatnya. Atau mungkin si dia sedang dihimpit satu masalah sehingga mengganggu situasi diri sendiri.

Untuk itu, beberapa langkah berikut mungkin dapat dilakukan anda dan mungkin anda tersilap langkah, tetapi harus mencari langkah seterusnya untuk bertindak. Antaranya:

# Kenali si dia dengan lebih mendalam

Langkah pertama yang harus anda lakukan adalah mengenal sang pujaan hati lebih dalam lagi. Untuk itu, anda perlu mencari maklumat sebanyak mungkin mengenai si dia sama ada melalui lingkungan yang berada di sekitarnya atau pembicaraan langsung. Daripada maklumat yang diperoleh dapat membantu anda melangkah ke tahap selanjutnya.

# Jangan terlalu yakin

Apabila diteliti lebih jauh, ternyata si dia memiliki perhatian khusus terhadap anda, tetapi bukan bererti dia menyukai anda. Kadangkala lelaki sering salah mengertikan perhatian yang diberikan kaum hawa dan mereka harus menelan pil pahit ketika mengetahui anda hanya menganggapnya sebagai teman.

Anda pun perlu menerima takdir cinta yang ditolaknya.

# Jangan terburu-buru menyatakan perasaan

Ada baiknya anda menentukan waktu yang tepat untuk menyatakan perasaan.

Namun, bukan bererti semakin cepat anda menyatakannya semakin besar kesempatan yang dimiliki untuk merajuk cinta dengan si dia. Justeru yang harus dijadikan kayu ukur adalah soal ‘kedekatan’ anda dan si pujaan hati. Jika dia belum juga memberikan tanda-tanda tertentu, ada baiknya anda menyimpan saja niat untuk menyatakan rasa tulus anda kepadanya.

# Minta pendapat daripada teman

Jangan terburu-buru menyatakan perasaan anda kepadanya, tetapi tiada salahnya anda mendengarkan pendapat sahabat baik anda mengenai waktu yang tepat untuk mengungkapkan isi hati.

Sejujurnya anda perlu menunggu tanda-tanda tertentu yang diberikannya supaya tidak terjadi salah faham atau silap tafsiran.

# Sedikit terbuka

Meskipun anda menyukainya, usahakan tidak menyatakan perasaan cinta melalui bahasa tubuh. Anda perlu berani berbicara secara terbuka kalau saatnya dia benar-benar sudah bersedia untuk mengetahui perasaan anda yang sebenarnya.

Tidak kira sama ada dia lelaki atau perempuan, sekalipun dia adalah wanita yang ‘super aktif’, tetapi umumnya wanita lebih menghargai lelaki yang berani berbicara terbuka soal cinta daripada diam seribu bahasa.

# Jangan memujinya berlebihan

Ingin memujinya, bukan tidak boleh asal anda jangan terlalu berlebihan. Pujian yang terlalu berlebihan membuat pasangan meragukan kesungguhan cinta anda. Boleh jadi dia mengganggap anda sebagai lelaki ‘buaya darat’ yang penuh pembohongan. Lakukan pula pendekatan secara bersahaja supaya hasil yang diperoleh kemudian hari lebih berkesan.


http://www.seripengantin.com/v2/category/isu-isu-sebelum-kahwin/perhubungan-cinta/

The Malaysian Insider- The Malaysian Insider Sunday August 02 2009

Demo anti-ISA tanda kejatuhan BN?

Oleh Haris Zalkapli

KUALA LUMPUR, Ogos 2 — Semalam, 1 Ogos 2009, telah tercatat satu lagi sejarah penting dalam perjalanan panjang perjuangan demokratik rakyat Malaysia apabila demonstrasi anti-ISA berjaya dilaksanakan, walaupun tidak sepenuhnya mencapai matlamat.

Demonstrasi anti-ISA dipimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pakatan Rakyat dan kehadiran kecil kumpulan pro-ISA itu walau bagaimanapun, seperti yang sepatutnya, lebih tertumpu pada anti-ISA yang bertentangan dengan pandangan kerajaan.

Pelbagai kritikan telah dilemparkan pihak pemerintah dan penyokongnya kepada demonstrasi itu, tanpa mengambil kira hak rakyat negara ini untuk berhimpun seperti yang menjadi amalan di negara-negara demokrasi seluruh dunia.

Pihak anti-ISA dituduh dengan pelbagai tuduhan, daripada mengganggu ketenteraman, menyusahkan peniaga-peniaga hingga motif-motif di sebalik perhimpunan itu.

Apapun tuduhan yang dilemparkan, isu utama yang perlu dinilai ialah hak rakyat untuk bersuara dan respons pemerintah terhadap perhimpunan itu.

Sama ada demonstrasi menentang ISA 1 Ogos lalu bermotif politik tertentu, contohnya mengalih perhatian daripada kes dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa penentang pembangkang, itu soal lain.

Perlu diakui, demonstrasi-demonstrasi besar yang dijalankan pembangkang seperti Bersih pada 2007 dan anti-PPSMI beberapa bulan lalu sememangnya ada motif lain selain apa yang menjadi tuntutan utama.

Kerajaan BN juga mempunyai kepentingan tertentu dalam melaksanakan banyak program baharu, selain daripada yang dinyatakan secara rasmi dan diulang-ulang pengulas dan penyokong parti-parti menguasai kerajaan.

Soal utama ialah hak rakyat (semua rakyat Malaysia, bukan “rakyat” seperti dimaksudkan sebuah akhbar, yang dikatakan disusahkan oleh demonstrasi itu) untuk berhimpun menyatakan suara mereka.

Hak ini, akibat pengajaran dan pembelajaran budaya politik autoritarian dan berasaskan bahasa kuasa selama terutamanya hampir 30 tahun lalu, telah dinafikan pihak berkuasa dan dilihat sebagai sesuatu yang sangat negatif.

Menjelang mana-mana demonstrasi, media dikuasai parti pemerintah akan meuar-uarkan kebimbangan tentang keselamatan dan pelbagai ancaman, seiring dengan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan tentang bahaya ancaman itu.

Hakikatnya, sebahagian besar pembangkang mempunyai kepentingan supaya demonstrasi melibatkan mereka berlangsung dengan aman dan mereka tidak hilang sebarang kawalan, terutama melibatkan demonstrasi yang besar.

Pembangkang lebih terdedah kepada persepsi negatif dan akan lebih banyak rugi sekiranya demonstrasi anjuran mereka terlibat dengan kekacauan atau keganasan. Selain tangkapan pihak berkuasa dan banyak kesusahan lain, pembangkang sangat perlu menjaga imej sebagai pihak yang bertanggungjawab dan bersedia untuk mentadbir negara.

Dengan segala kawalan dan kekangan yang disediakan oleh pihak pemerintah, mereka tidak sepatutnya menuding jari kepada pembangkang kerana kekacauan yang berlaku pada 1 Ogos. Kawalan yang sewajarnya dengan kerjasama pembangkang dapat memudahkan perjalanan demonstrasi anti-ISA itu.

Rancangan GMI dan penentang ISA sangat mudah, iaitu berkumpul dan bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan tuntutan. Sekiranya ini dibiarkan berlangsung dengan aman, dan dengan syarat penganjur dan peserta himpunan memberi kerjasama, ia akan mudah dilaksanakan, tanpa perlu drama berlebihan dan tindakan keras pihak berkuasa.

Pemerintah masih berdegil dengan sikap autoritarian mereka yang enggan memberi ruang kepada sebarang tindakan demokratik rakyat. Sikap ini terus memberikan imej buruk kepada negara, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu dilapor media luar negara.

Pemerintah perlu sedar imej mereka telah lama buruk di peringkat antarabangsa ekoran sikap seperti ditunjukkan dalam demonstrasi-demonstrasi. Apa yang dilakukan pada 1 Ogos memburukkan lagi imej mereka, walaupun pada masa sama cuba menangani kemerosotan sokongan ini dengan pelbagai cara.

Kedua-dua pemerintah dan pembangkang kini terlibat dalam persaingan menyampaikan mesej kepada rakyat dan dunia. Sehingga kini, pembangkang lebih ke hadapan dan pemerintah jauh ketinggalan, akibat apa yang dilakukan seperti di demonstrasi anti-ISA.

Tetapi apa yang lebih penting daripada permainan imej itu ialah hak demokratik rakyat untuk berhimpun dan menyatakan suara mereka tanpa diperlihatkan sebagai pengacau dan gerombolan yang mengganggu ketenteraman dan merosakkan harta benda awam.

Tindakan parti pemerintah terus menyekat rakyat dengan keras tanpa ada sebarang tanda untuk memberi ruang hanya akan mempercepatkan tamatnya tempoh kekuasaan mereka.

http://www2.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/34007-demo-anti-isa-tanda-kejatuhan-bn